Sunday, November 13, 2011

TEKNOLOGi NUKLEAR


Apa itu nuklear? Menerusi sumber daripada Utusan Malaysia, istilah 'nuklear' merujuk kepada asas dalaman atau nukleus atom dan tenaga nuklear adalah tenaga yang dijana daripada tindak balas dalam nukleus atom.(Utusan Malaysia, 14 Julai 2008). Ada dua jenis tindak balas nuklear yang boleh digunakan untuk menjana tenaga, iaitu tindak balas pembelahan nukleus (nuclear fission) dan tindak balas pelakuran nukleus (nuclear fusion). Melalui sumber daripada Kamus Dewan, nuklear bermaksud tenaga yang terhasil daripada tindak balas atom atau nukleusnya. (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, edisi ke-4)

Loji-loji janakuasa nuklear yang terdapat di dunia adalah berasaskan tindak balas pembelahan nukleus, sedang loji nuklear berasaskan pelakuran nukleus kini masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan dan dijangka tidak akan dapat digunakan dalam  tempoh setengah abad akan datang kerana kesukaran teknologinya. Proses penjanaan tenaga elektrik menggunakan tenaga nuklear melibatkan kitaran bahan api yang dimulai dengan perlombongan uranium, yang merupakan sumber utama untuk menyediakan tenaga nuklear. Selepas itu, ia akan menjalani proses penukaran uranium, pengayaan uranium, penukaran semua uranium, fabrikasi bahan api dan diikuti dengan penggunaan dalam loji janakuasa nuklear. Kemudian diikuti dengan penyimpanan sementara bahan api nuklear terpakai, sebelum diproses menjadi bahan api nuklear terpakai dan akhir sekali rawatan dan pelupusan akhir sisa nuklear aras tinggi.


Uranium biasanya diperolehi daripada negara-negara seperti Australia, Kazakhstan, Kanada dan Amerika Syarikat (AS). Menurut sumber Agensi Nuklear Malaysia (ANK), penjanaan elektrik melalui loji janakuasa nuklear mampu menjamin keselamatan perbekalan tenaga negara." Walaupun tenaga nuklear adalah lebih baik dari satu aspek iaitu membekalkan tenaga yang tetap, tetapi ia juga mempunyai kekurangan dari segi jaminan keselamatan dan beberapa perkara lain. (Dewan Masyarakat, 1979)

Tenaga nuklear mula ditemui oleh ahli fizik bernama Henri Becquerel pada tahun 1896, ketika beliau mendapati bahawa kepingan fotografi yang disimpan di dalam gelap berdekatan dengan uranium telah berubah kehitaman seperti kepingan sinar X, yang baru sahaja ditemui pada tahun 1895.
Tenaga nuklear dibebaskan oleh tiga proses eksoterma, iaitu ‘Pereputan Radioaktif’, yang melibatkan satu proton atau neutron dalam nucleus radioaktif yang mereput lalu membebaskan samada zarah-zarah, sinaran electromagnet (seperti sinar gamma), neutrino, pembelahan nuklear (yang membelah satu nucleus berat menjadi dua nukleus yang lebih ringan) dan pelakuran nuklear (yang menggabungkan dua nukleus atom untuk membentuk satu nukleus yang lebih berat.
Pereputan radioaktif adalah satu tindakbalas yang berlaku secara spontan, rawak dan semula jadi. Pembelahan nuklear pula, yang tidak berlaku secara semula jadi, telah digunakan secara meluas dalam penjanaan tenaga elektrik sejak 1950-an dahulu. Sementara itu, pelakuran nuklear boleh berlaku secara semula jadi seperti dalam Matahari, dan secara buatan. Walaupun proses ini telah dibuktikan boleh dilakukan secara buatan, namun terdapat beberapa masalah seperti kawalan ke atas tindak balas yang perlu di atasi sebelum proses ini boleh dilakukan secara besar-besaran. (Adams, 2010)
Keradioaktifan telah wujud secara semula jadi, tetapi perkara itu tidak diketahui sehinggalah akhir kurun ke-19, sedangkan di dalam al-Quran, sudah ada satu surah dikenali al-Hadid, yang memperkatakan mengenainya. Istilah al-Hadid merujuk kepada logam besi. Di dalam keadaan semula jadi, besi wujud sebagai satu sebatian dengan logam dan galian lain, antaranya logam radioaktif seperti uranium, plutonium dan radium.
Apa yang menarik ialah firman Allah dalam ayat 25 Surah al-Hadid yang bermaksud:
Pada besi itu, terdapat kekuatan yang amat kuat yang boleh memusnahkan manusia."

Kejadian letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki membuktikan kebenaran ayat ini sebagai bukti kekuasaan Allah yang menjadikan pada besi itu kekuatan yang terlalu besar. Setengah kilogram uranium dapat menghasilkan tenaga haba satu mega watt sehari. Bayangkanlah, jika sebuah negara itu mempunyai berjuta tan uranium yang disimpan untuk tujuan peperangan nuklear.
Hakikat keradioaktifan hanya diketahui pada akhir kurun ke-19 membabitkan dua perkara besar yang berlaku ketika itu, yang membenarkan penemuan radioaktif. Pertama, sinar-X yang ditemui pada 1985 oleh Wilhem Konrad Rontgen, yang didapati berupaya menghasilkan pendarflour pada kaca tiub sinar-X. Kedua, kajian oleh Henri Becquerel, yang mendapati bahawa, apabila kalium uranil sulfat diuja oleh sinaran ultra ungu, ia akan menghasilkan pendarflour. (Mustika Embun, April 2006


Stesen kuasa nuklear pertama dibuka pada 1950-an, teknologinya dianggap sebagai salah satu pencapaian besar dalam sains moden. Hari ini, banyak orang berpendapat, usaha membuat kuasa nuklear adalah kesilapan yang akan menimbulkan masalah besar bagi planet dan manusia. Namun, dengan pengendalian berhati-hati, ia boleh memberi manfaat. Sebenarnya, masih ada harapan kuasa nuklear digunakan secara selamat dan terkawal. Kuasa ini banyak kegunaannya dalam bidang perubatan. Kemajuan berterusan bermakna kita boleh mengesan dan merawat penyakit serius termasuk barah.

Banyak perkara menakutkan mengenai tenaga nuklear. Sesetengah orang menyebutnya sebagai tenaga yang bukan semulajadi sungguhpun cahaya dan haba yang diterima setiap hari daripada matahari, adalah hasil tindak balas termonuklear. Kita harus benar-benar memahami sifat tenaga nuklear dan teknologi moden yang digunakan untuk memanfaatkannya. Kita harus belajar daripada kesilapan lalu dan jangan membiarkan rasa takut menghalang kemajuan. Satu perkara yang pasti ialah, kita sekarang hidup dalam apa yang dikatakan sebagai zaman nuklear. Pelbagai manfaat yang diperoleh daripada perkembangan penggunaan teknologi nuklear pada masa kini dengan menekankan dari sudut bidang yang diharuskan seperti penggunaan dalam sektor perubatan, sektor pertanian, sektor perindustrian dan juga penggantian, (replacement) sebagai sumber tenaga baru. Turut hadir ditekankan daripada aplikasi teknologi nuklear yang tidak diharuskan syarak seperti penggunaan bahan-bahan nuklear sebagai senjata pemusnah.
Malaysia juga turut melakar sejarah untuk bersaing dengan negara-negara maju yang lain seperti Jepun, Rusia dan Amerika Syarikat dengan mewujudkan pusat Nuklear Malaysia yang ditubuhkan pada 1972 sebagai Pusat Penyelidikan Tenaga Atom Tun Dr Ismail (PUSPATI). Kemudian pada 1983 ia dinamakan Unit Tenaga Nuklear (UTN) apabila ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Kemudian selepas dipindahkan ke bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada Oktober 1990. Pada 10 Ogos 1994, barulah ia bergelar Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT). Pada 28 September 2006, MINT sekali lagi diberi identiti baru sebagai Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) sehingga sekarang. (Wikipedia.com)



0 comments :

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Enterprise Project Management